Terima kasih Cikgu kerana ‘selamatkan’ saya…

18 05 2009

[Karya Azamin Amin di Harakahdaily. Pihak DPPK Bayan Baru juga mengucapkan kalungan Selamat Hari Guru buat semua guru di seluruh Malaysia, khasnya buat para guru PASTI-PASTI di bawah kelolaan DPPK Bayan Baru]

Izinkan saya mencoret secubit kisah, pengorbanan guru…

Ya, bagaimana mungkin sebilangan besar guru-guru di sebuah sekolah asrama di Perak akan melupakan seorang pelajar tingkatan dua tahun 1989, yang lari daripada sekolah di waktu malam, menaiki keretapi lalu ke utara tanah air tanpa diketahui oleh sesiapa.

Gamat satu sekolah keesokannya. Namun kisah ‘fugitive’ itu tidak bertahan lama. Dua hari selepas itu saya berjaya ‘ditangkap’.

Tidak mungkin juga, mana-mana guru dapat menghilangkan wajah seorang Azamin yang terpaksa berdiri di hadapan ratusan pelajar pada hari perhimpunan Jumaat, kerana melanggar displin sekolah.

Digelar oleh guru displin sebagai P1 (Penjenayah, penjahat, perosak dan pelbagai perkataan P yang menunjukkan akhlak saya tidak elok).

Bukan sekali langgar. Acap kali. Antaranya bertumbuk, bergaduh, pecah almari makmal, bawa ‘lari’ sebuah TV asrama ke bilik gerakan sekolah semata-mata untuk menonton video, meronda-ronda ke Asrama Puteri lewat malam dan aneka macam kelaku yang cukup memalukan.

Image

Seringkali mata memandang serong apabila saya menuju ke bilik pengetua sekolah untuk menjalani hukuman sebatan rotan yang cukup menyakitkan. Lebih mengaibkan, ayahanda terpaksa datang sebab saya digantung selama seminggu kerana mencederakan pelajar.

Senarai panjang salah laku, tidak mungkin dapat memenuhi coretan ini. Cukup secebis, tanda pengakuan salah sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Saat itu, umpama sudah ada ‘sayap untuk terbang’. Terlalu angkuh, padahal hijau lagi akal budi.

Cumanya… paling menyayat hati dan tersentuh jiwa, walau setinggi mana gumpalan noda dan dosa, biar melangit saya melompat, dan tersungkur ke bumi sekalipun, guru-guru sekolah tidak pernah ‘membuang’ ataupun ‘menyisih’ saya.

Malah ketika saya ‘jatuh’, mereka mengutip saya, mengangkat lalu menjulang semula ke atas. Tanpa serik, saya kembali ‘liar’ melonjak ke sana ke mari mencabar jiwa naluri seorang guru.

Setelah lama, saya ‘jatuh’ terperusuk lagi. Sepi, sakit dan berdarah. Guru-guru, sekali lagi memapah, memeluk dan menyelamatkan saya sambil membasahkan bibir dengan kalimah kata-kata hikmat dan azimat. Tanpa peduli, siapa saya yang dikenali cukup bermasalah.

Tidak putus-putus, seorang demi seorang menasihati saya. Baik guru lelaki mahupun perempuan. Baik yang beragama Islam mahupun bukan. Tanpa kecuali guru kaunseling, silih berganti, menjadikan saya sebagai subjek bermasalah yang perlu ditangani dengan segera.

Selama setahun lebih guru-guru memulih dan menenangkan ‘pemberontakan’ saya.

Bayangkan tanpa ayah ibu di depan mata, guru-guru menjadi keluarga pengganti diri. Jika tidak sabar, sudah pasti tidak ada sekelumit nurani pun yang berhajat untuk membimbing saya ketika itu. Tanpa jemu, guru-guru terus memberi semangat juang yang tinggi untuk menjadikan saya, seorang pelajar yang baik.

Tahun 1990, terbit rasa insaf. Berjurai air mata tatkala mendengar kalimah tajam menusuk jiwa daripada guru-guru saya.

“Awak terlalu matang untuk membuat kerja-kerja bodoh ini. Seorang pemimpin, bukan begini kelakuannya.,” nasihat seorang guru perempuan kepada saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga.

“Azamin, cara awak berkata-kata, bercerita menunjukkan tahap pemikiran yang sama sekali berbeza dengan sifat yang awak tunjukkan selama ini. Berubahlah, disebalik keburukan pasti ada cebis kebaikan awak,” kata seorang guru kaunseling sambil menitiskan air mata.

Walaupun tercatat nama dalam buku hitam dispilin sekolah termasuk satu rekod di Balai Polis Ipoh kerana lari sekolah, saya ‘bangkit’ semula atas usaha jerit pedih cikgu-cikgu mendidik saya.

Ya…bukan senang menjadi guru. Siang malam bergelumang dengan karenah dan ragam pelajar yang kini cukup dasyat, menyeramkan dan meloyakan.

Saya, antara bukti yang masih hidup. Betapa payahnya, guru-guru melentur saya, namun akhirnya berjaya jua.

Berapa ramai guru di seluruh negara, secara ‘tidak sengaja’ dan tanpa niat telah melahirkan beratus-ratus malah ribuan ‘binatang’ di luar sana. Perompak, perogol, penjenayah, penagih dan pembunuh yang asalnya juga daripada suci perut ibu mengandung, juga asalnya seorang pelajar sekolah. Pasti mengecewakan. Namun itu bukan salah cikgu.

Image

Alhamdullilah, saya terselamat kerana guru-guru saya sempat dan cepat. Calar-balar dan lebam di tubuh serta tempeleng dan jerkahan guru menjadikan saya sedar kesilapan yang dilakukan.

Jika tidak, entah di kolong manalah saya melabuhkan lena, entah di longkang manalah saya terjaga. Lorong hitam manalah saya berkelana dan mungkin perginya tanpa nama, atau lebih pedih dihina.

Jikalau badan saya tidak berbirat dan tiada pekikan guru menerjah telinga saya, sudah pasti saya tidak berada di sini.

Mungkin tidak ada sesuatu pun boleh dibanggakan oleh guru-guru terhadap saya. Namun sejahat mana sekali pun saya, seteruk mana libasan guru ke tubuh saya, sekuat mana tempikan guru kepada saya…saya tidak pernah melawan guru.

Jauh sekali untuk mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta cikgu atau mengajak cikgu ‘bertempur’ di luar sekolah. Biar apapun, dua jenis manusia yang tetap saya hormati sepanjang hayat…’ayah ibu dan guruku’.

Mungkin guru-guru saya, di sekolah, di kolej atau di pondok pasti akan bersyukur dan merasa sungguh bangga apabila sebilangan besar anak-anak didik mereka telah menggapai ‘bintang’.

Yang menjadi doktor, peguam, jurutera, pendidik, usahawan, pemimpin politik dan berada di puncak pasti akan menyejukkan hati guru-guru saya.

Cuma tentang diri saya… adakah guru -guru bersyukur dan rasa penat-lelah mereka berbalas apabila saya berada ‘di sini’, di lingkungan oposisi?

Hajat di hati, ingin saya merakamkan nama-nama guru saya di coretan ini namun rasa tidak sampai hati dan tidak tergamak, mana tahu bakal ‘terpalit lumpur’ di sebabkan oleh saya, maklumlah saya di berada ‘di sini’.

Saya begitu berbesar hati untuk membariskan senarai semua guru-guru yang telah ‘menyelamatkan’ saya selama ini, namun hati kecil penuh sayu terpaksa membatalkan hasrat kerana tidak mahu menyusahkan cikgu di kemudian hari.

Walau apapun tanggapan dan sangkaan, saya tetap menyanjung cikgu kerana telah ‘menyelamatkan’ saya dan kini saya berada ‘di sini’, memperjuangkan apa yang saya percayai…

Sebelum mata tertutup rapi atas kesalahan saya selama ini, saya mohon ampun dan maaf atas segala tutur-kata dan gerak-gaya yang menyinggung dan mengusik hati cikgu yang cukup baik terhadap saya. Moga sudi teruskan mendoakan saya bersama perjuangan ini.

Muridmu suka mencabar hati,

Asyik melawan, langgar arahan.

Budi baik guruku sejati,

Jasamu kutebus di depan tuhan.

“TERIMA KASIH, KASIH DIJULANG…SELAMAT HARI GURU.” – azm


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: