Mahkamah Rayuan: Tiga hakim putus Nizar kalah

22 05 2009

PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry.

Hakim Dato’ Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato’ Zainun Ali dan Hakim Dato’ Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan.

Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

“Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri,” katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

“Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini,” katanya.

“Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih,” kata Sulaiman.

Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam.

Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato’ Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

“Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf,” katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

“Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya),” katanya.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

“Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota,” katanya.

Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap,” katanya.

Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

“Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

“Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang.

“Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau,” kata Cecil.

Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

“Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi,” katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

“Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan,” katanya.

Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya.

“Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah,” katanya.

Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu. – azm/mks. _


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: