Pemuda PAS : Rijal at-Taghyir

27 05 2009

[Artikel asal dari weblog Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi]

نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية ءامنوا بربهم و زدناهم هدى و ربطنا على قلوبهم إذ قاموا فقالوا ربنا رب السماوات و الأرض لن ندعوا من دونه إلها لقد قلنا إذا شططا

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu ( Muhammad ) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda – pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan kami telah meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri lalu mereka berkata : Tuhan kami adalah Tuhan Langit dan Bumi , kami sekali – kali tidak menyeru Tuhan selain Dia . Sesungguhnya kami kalau sedemikian , telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran .

Surah al Kahfi : Ayat 13 – 14

Pemuda yang saya maksudkan sebagai Agen Perubah [ Rijalut Taghyir ] ini ialah pemuda yang beriman dengan satu keimanan yang meletakkan pemuda sebagai hamba Allah yang taat kepada segala titah perintah Allah dan senantiasa siap dan sedia untuk melaksanakan apa jua tuntutan syara’ . Mereka laksana hawariyun yang siap sedia menjawab : “Kamilah tentera – tentera Allah” ( نحن أنصار الله ) ketika ditanya siapa dikalangan kamu yang mahu bersama berjuang menegakkan agama Allah swt.

Iman ( Aqidah ) yang Sohih.

Perjuangan yang kita dokong dan urus ini adalah perjuangan Islam . Justeru itu dasar , objektif dan matlamatnya juga Islam . Sebarang penyimpangan daripada Islam merupakan satu jenayah perjuangan yang kelak menyumbang kepada kerosakan kekal terhadap perjuangan suci ini malah diri pejuang itu sendiri turut menjadi mangsa.

Lantaran itu , pemuda mesti memiliki tahap pegangan agama yang utuh tanpa mampu digugat biarpun terpaksa berhadapan dengan apa jua situasi yang mencengkam samaada dari luar atau dalam . Tanggungjawab ini bukan sahaja digalaskan kepada pemimpin tetapi juga kepada seluruh ahli.

Pemuda yang mempunyai pegangan agama yang utuh dan iman yang mantap bukan sahaja meletakkan mereka layak untuk membawa perubahan tetapi wajib memimpin perubahan .

Mereka bukan pemuda yang menjadi “pak turut” dan jauh sekali “berangan” dalam perjuangan besar ini. Bahkan mereka juga tidak “kalut” mendepani realiti . Segalanya bermula dengan akar keyakinan yang jelas mengasas langkah perjuangan tanpa gentar dan panik menyerap tekanan serta meredah halangan .

Mereka adalah pemuda yang tahu apakah yang ia perjuangkan , untuk apa ia diperjuangkan dan bagaimana ia diperjuangkan .

Pemuda yang menggabungkan diri dengan Gerakan Islam berasaskan Aqidah ( intima’ al aqidah ) , mendokong cita – cita perjuangan junjungan besar Nabi kita Muhammad saw untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi . Bukan pemuda yang sarat dengan cita – cita politik duniawi memburu jawatan dan pengaruh kuasa tanpa melihat kepada ruang dan peluang untuk Islam .

Tidak juga pemuda yang gopoh memburu kemenangan tanpa melihat kepada tahap masak matangnya perjuangan Islam yang didokong . Tentu sahaja kita semua membaca kisah Khabbab al Arat bersama Nabi saw :

و من أبي عبد الله خباب بن الأرت رضى الله عنه قال شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة فقلنا : ألا تستنصرلنا ؟ ألا تدعولنا ؟ فقال : قد كان من قبلكم يؤخذ الرجال فيحفر له في الأرض فيجعل فيها ثم يؤتى بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين و يمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه و عظمه ما يصده ذلك عن دينه و الله ليتمن الله هذا الأمر حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله و الذئب على غنمه و لكنكم تستعجلون

Maksudnya : Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban . Maka kami bertanya : Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita ? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita ?


Maka berkata Rasulullah saw : Sesungguhnya orang – orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.


Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana’a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh .

Riwayat Imam Bukhari

Betapa pejuang seperti Khabbab yang telah merentasi tempoh perjuangan dan pengorbanan yang getir masih dianggap gopoh oleh baginda saw. kenapa kita begitu tergesa – gesa inginkan kemenangan pula melalui jalan short cut sedang perjuangan dan pengorbanan kita belum ditahap maksima .

Saya bimbang kita hanya membina Istana Pasir . Indah dan cantik rupanya , tetapi menunggu saat runtuh dan binasa yang lebih parah selepasnya. Waliyazubillah !

Pemuda Rijalut Taghyir

Gerakan pemuda sejak awal bersama Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) sangat konsisten membawa cita – cita perubahan dari sekular kepada Islam , dari kufur kepada Iman , dari bathil kepada haq , daripada zalim kepada adil . Perjuangan yang telah menyaksikan pimpinan dan aktivis pemuda keluar masuk penjara dan menjadi bahan belasahan musuh – musuh Islam.

Tentu sahaja perjuangan ini mengharapkan kejayaan dan kemenangan namun ia bukan matlamat perjuangan kita pemuda Islam . Kemenangan adalah anugerah Allah yang akan dikurniakan kepada yang berhak dan layak setelah mereka terbukti sanggup mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam ini setulusnya tanpa mengharapkan sesuatu selain redha Allah swt.

Ini bukan minda pembangkang dan bukan juga minda orang yang kalah tetapi ini adalahminda sunnah berasaskan manhaj perjuangan suci .

Kemenangan tidak diberi kepada Sang Gopoh , Mat Kalut bahkan tidak juga dikurniakan kepada Mat Jenin . Tetapi diberi kepada mereka yang telah berjaya memiliki pra syarat kemenangan seperti yang digariskan oleh para ulama’ al mujahidin bertunjangkan manhaj an nabawi .

Bukan saya prejudis dengan kemenangan tetapi jangan dipetik buah sebelum masaknya. Sekalipun kita berjaya memetik, kita hanya akan memakan buah yang putik dan mungkin pahit atau masam rasanya. Alangkah jika kita bersabar menanti buah yang masak , lalu kita memetiknya sudah tentu kita akan merasai nikmat dan lazat yang tidak terhingga.

Saya yakin Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Bijak . Masakan Allah gagal atau terlupa untuk memberi kemenangan setelah kita dikenal pasti layak .

Ada yang mempersoalkan tempoh 50 tahun kita berjuang apakah ia belum menjadi tempoh matang ? 50 tahun rakyat pula derita dibawah UMNO dan BN yang zalim dan kejam , apakah kita masih boleh bersabar ?

Inilah sifat perjuangan Islam yang bila – bila pun tidak terikat dengan tarikh dan tempoh . Kita berjuang meredah masa dan merentas zaman . Kalau 50 tahun kita sudah rasa lama menanti , bagaimana pula dengan ummat terdahulu . Nabi Nuh as. mengambil masa 950 tahun malah penguasaan Firaun juga mengambil masa ratusan sebelum ia ditumbangkan oleh Allah swt.

Kalau sememangnya kita layak dan berhak , saya yakin Allah swt akan memberikan kemenangan itu kepada kita pada bila – bila masa , kerana telah sabit janji daripada Allah swt . kepada kita yang berjuang :

و لينصرن الله من ينصره إن الله لقوي عزيز

Nescaya Allah akan memberi kemenangan kepada siapa yang berjuang untuk memenangkan agamanya . Sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Kuat lagi Perkasa.

Surah al Hajj . Ayat 40

Sememangnya kemenangan bukan hak kita sebaliknya ia milik Allah swt tanpa kita boleh mengambilnya sekehendak kita . Kalau boleh ikut kehendak kita , bukan esok apatah lagi lusa tetapi hari ini kita mahukan kemenangan itu . Tetapi Allah sebut :

و ما النصر إلا من عند الله إن الله عزيز حكيم

dan tiada kemenangan melainkan hanya kurniaan dari sisi Allah swt. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfal . Ayat 10

Jatuhkan UMNO dulu ( ABU : Asal Bukan UMNO )


Saya sebagai seorang pemuda yang dilatih dan dididik bersama perjuangan ini untuk menegakkan Islam , saya berpandangan soal siapa jatuh dan siapa yang akan dijatuhkan malah apa nama mereka itu adalah perkara kedua. Yang utama ialah Islam mesti diperjuang dan ditegakkan. Siapa yang menghalang Islam tegak , kita terpaksa berhadapan dengan mereka . Jika mereka lawan maka kita tiada pilihan lain melainkan terpaksa melawan mereka . Siapa mereka dan apa nama mereka , itu kita tidak peduli .

Saya masih ingat malah sangat segar dalam ingatan saya akan ucapan Ayahanda Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi di Banggol Pradong yang kemudian diangkat menjadi Amanat oleh orang ramai khasnya ahli parti :

Saudara – saudara sekelian , Percayalah

Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO

Kita menentang Barisan nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan

Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah

Mengekalkan undang – undang kafir , mengekalkan peraturan jahiliyyah

Oleh kerana itulah kita menentang mereka

Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka

Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka
Percayalah saudara saudara sekelian

Perjuangan kita adalah Jihad

Ucapan kita adalah jihad

Derma kita adalah Jihad

Bergantunglah kita kepada Allah dengan [menghadapi] puak – puak ini

Kerana kalau kita mati melawan puak – puak ini

Mati kita adalah syahid , mati kita adalah mati Islam

Kita tidak perlu masuk Budha

Kita tidak perlu Hindu

Kita tidak perlu masuk Kristian

Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku , agama suku

Demikianlah ucapan Tok Guru ( kalau saya silap mungkin boleh diperbetulkan . Namun inilah yang saya hafal )

Jahiliyah tidak selamanya nama dia UMNO , mungkin nama lain boleh mewakili jahiliyah . Sebagaimana yang jahat dan zalim tidak selamanya nama dia Firaun , dia boleh bernama Abu Jahal di zaman Nabi saw. Nabi pernah sebut sambit mengisyaratkan kepada kepala Abu Jahal :

هذا فرعون هذه الأمة

Inilah Firaun Ummat Ini .


Tindakan

Information

One response

28 05 2009
Paspenanti

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: