Koh Tsu Koon, BN punca isu Kampung Buah Pala

9 07 2009

PULAU PINANG, 9 Julai (Hrkh) – Barisan Nasional (BN) dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon merupakan punca sebenar konflik yang berlaku di Kampung Buah Pala, Gelugor ketika ini dan bukannya Kerajaan Pakatan Rakyat sepertimana yang gambarkan oleh media.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang medianya tengahari semalam menyifatkan, kenyataan Koh Tsu Koon yang menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat kerana tidak memperdulikan keresahan penduduk di kampung terbabit adalah taktik terbaru bagi menutup kesilapannya menjual tanah tersebut pada sebuah syarikat swasta setelah hak milik tanah ditukar kepada Koperasi Pegawai Kerajaan sepenuhnya apabila baki premium dibayar pada 27 Mac 2008.

Jelas beliau lagi, sepatutnya Koh yang juga Ahli Parlimen dari negeri ini tambahan lagi pernah menjadi Ketua Menteri harus masuk campur dengan membawa usul ini ke kabinet agar penyelesaian dapat diatasi.

“BN, Koh Tsu Koon dan barisan exconya kena dipersalahkan dalam hal ini kerana tindakan mereka menyebabkan penduduk Kampung Buah Pala dalam dilema. Padahal peristiwa melaksanakan projek besar tidak timbul sekiranya kerajaan BN waktu itu bersikap mesra dan tidak menipu, ” ujarnya.

Beliau juga mengesahkan Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mampu menyelamatkan kedudukan kampung terbabit kerana ketandusan kewangan melainkan berharap Kerajaan Pusat menebus kembali dengan membayar pampasan kepada syarikat Nusmetro Venturues (P) Sdn Bhd kerana didakwa mengalami kerugian tidak menjalankan projek yang dirancang ekoran penduduk menghalang dengan membawa ke mahkamah.

Namun, pada awal Jun lalu setelah syarikat berkenaan berjaya mengemukakan penghujahan di Mahkamah penduduk masih tidak mahu keluar dari kawasan seluas 6.5 ekar berikutan hak mereka dinafikan menerusi jalan penipuan sedangkan mereka tinggal di situ melebihi 100 tahun.

“Sebagai kerajaan baru yang memerintah, kita tidak boleh buat apa-apa kerana Pejabat Tanah dan Galian Negeri telah memberikan hak milik tanah kerajaan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan bertarikh 9 Januari menerusi rujukan mereka PTG/PMP/DTL/274 yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Haji Arifin Awang, ” terangnya.

Lim dalam kenyataan juga menyebut Kerajaan Negeri akan menggunakan Akta Kanun Tanah Seksyen 116 di mana sekyen 116 (1) (D) menyebut mana-mana tanah yang menjadi milik kerajaan apabila hendak dibangunkan mesti mendapat kebenaran secara bertulis sebelum pembangunan dibuat.

Beliau juga menafikan Kerajaan Negeri cuba lari daripada tanggungjawab sebaliknya Kerajaan Negeri sedaya upaya mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan kedudukan kampung itu daripada terus ditipu oleh BN.

Kerajaan Negeri juga berpendapat sekiranya mana-mana keluarga mahukan pampasan mereka harus bersabar kerana kerajaan sedang berusaha mendesak pemaju membayar pampasan sebanyak RM200 ribu kepada setiap keluarga.

Perkara itu sedang dibincangkan dengan semua pihak termasuk pemaju sehingga tarikh 2 Ogos akan datang dan selepas itu kerajaan akan mengkaji pampasan yang akan diberikan.

Menyentuh mengenai tuduhan seorang penduduk yang mengatakan jangan persalahkan Najib dalam hal ini sebaliknya menunding jari pada Kerajaan Pakatan Rakyat kononnya menandatangani perjanjian dengan pemaju pada 27 Mac 2008 iaitu selepas peralihan kuasa beliau berkata, Kerajaan Negeri tiada sebarang urusan dengan pemaju melainkan Kerajaan BN terdahulu bersama Koperasi Pegawai Kerajaan.

Ini bermakna Exco Kerajaan BN telah meluluskan dua kali tanah tersebut pada Koperasi iaitu pada 2004 dan 2006.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang tidak pernah merestui peristiwa yang berlaku di Kampung Buah Pala tetapi apa boleh buat nasi sudah jadi bubur. Kerajaan BN patut bertanggungjawab dalam kes ini, ” katanya penuh harap.

Turut hadir dalam kenyataan akhbar itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Dr Mansor Othman dan Profesor Ramasamy serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh. – mks. _


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: