Muqayyam Tarbawi DPPN Pulau Pinang

31 12 2009

Pada 5 Disember 09, Ketua Pemuda dan setiausaha DPPK Bayan Baru telah menghadiri program Muqayyam Tarbawi anjuran DPPN Pulau Pinang di Sungai Tengas, Bandar Baharu, Kedah. Perjalanan kami bertolak jam 2:30 petang dan singgah ke beberapa destinasi sebelum ke tempat program. Kami tiba di tempat destinasi pada jam 4:00 petang. Turut menjadi peserta ialah bekas Pemangku Ketua Pemuda DPPK Bayan Baru; saudara Shahnaz yang mewakili exco IT DPPN Pulau Pinang dan Ketua Pemuda PAS negeri Pulau Pinang sendiri, Ustaz Yusni Mat Piah.

Penerangan berkenaan program bermula selepas solat Asar. Penerangan diberi sendiri oleh pengarah program iaitu Ustaz Mohd Radhuan atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Mat Taliban. Kami diberi borang pengenalan diri dan fikrah untuk diisi selepas penerangan tersebut. Selepas itu kami diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti sendiri sehingga ke waktu maghrib. Antara aktiviti utama ketika itu ialah mandi sungai.

Selepas solat maghrib, program bermula dengan aktiviti LDK ice breaking. Kami dipecahkan kepada 8 kumpulan dan aktiviti berkisar kepada pentingnya bergerak secara jemaah dan pentingnya pemilihan pimpinan melalui kaedah syura. Program disambung dengan ceramah dasar pertama yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Hasyim Jasin, Pesuruhjaya PAS negeri Perlis yang menekankan kepentingan ihsan dalam gerak kerja.

Pada malam itu, sebelum tidur kami diminta beriadah dengan permainan yang agak menakutkan; bola api. Buah kelapa tua yang direndam dengan minyak dibakar telah digunakan sebagai bola pada malam tersebut. Memandangkan bola tidak tahan lama, setiap kempulan hanya bermain sekali kecuali kumpulan yang mendapat gol terbanyak bermain kali ke-2 dengan Unit Amal Bandar Baharu. Semua bermain dengan penuh semangat sehinggakan melecur jari kaki Ketua Pemuda PAS Bayan Baru dan hampir kesemua peserta yang berbulu kaki dapat melihat kesan permainan tersebut.

Keesokan paginya selepas solat subuh, Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah memberi kuliah subuh kepada peserta. Setelah beriadah dengan Unit Amal negeri yang diketuai oleh Saudara Norazman, kami diminta bersedia untuk aktiviti riadah seterusnya. Kami telah dibahagikan kepada 2 kumpulan dan aktiviti pada pagi tersebut lebih berkisar kepada strategi peperangan dan kefahaman wala’ kepada arahan pimpinan. Peperangan berjalan dengan dasyatnya sehinggakan urusetia turut menjadi ‘tawanan’ peperangan kami. Program selesai sebelum waktu zohor.

Selepas watu zohor, kami dimodulkan dengan nasi hitam putih sebagai makan tengah hari kami. Modul yang berkisar tentang betapa pentingnya penyaluran maklumat dari satu pihak ke pihak lain diadakan sebelum slot ceramah dasar kedua oleh Ustaz Azman Syafawi, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang menerangkan tentang adab dan akhlak berjemaah.

Pada petang tersebut peserta bermodul lagi dengan modul yang menekankan aspek fokus dalam gerak kerja berjemaah, kepentingan memahami arahan sebelum bergerak kerja dan kesatuan dalam bergerak kerja. Pada petang tersebut, peserta tambahan; Saudara Rashidi, Timbalan Pesuruhjaya PAS III negeri dan setiausahanya Ustaz Taufik turut sama menyertai modul peserta.

Di sebelah malam selepas solat maghrib, pengisian oleh Ustaz Yaacob Hussain yang menekankan pemahaman tentang baiah diadakan. Selepas pengisian tersebut semua peserta menunaikan solat Isya’ dan selepas itu semua bersedia untuk program kemuncak pada malam tersebut, Malam Kesenian Islam yang dipancarkan secara langsung dari tempat program ini.

Sebanyak 8 aktiviti diadakan pada malam tersebut, termasuk lakonan realiti, debat parlimen, forum dan sebagainya diadakan. Setiap kumpulan diberi masa 10 minit untuk persembahan. Pada malam ini juga, sekali lagi Ketua Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru ditangkap oleh FRU (Dalam lakonan). Setiausaha pula telah bertukar menjadi Dr. Agus, pengacara Hujjah pada malam tersebut.

Keesokan paginya selepas solat Subuh, satu tazkirah berantai terpanjang dalam sejarah telah diadakan. Kesemua exco dan ketua pemuda diminta memberi tazkirah kepada peserta yang hadir. Selepas tazkirah, kami terpaksa bersiap untuk pulang memandangkan ada program Dialog Bersama Polis pada pagi tersebut. Kami hanya sempat masuk seketika dalam muhasabah program yang diadakan awal memandangkan ada lagi peserta lain yang terpaksa pulang kerana hal masing-masing. Selepas itu kami dimaklumkan ada aktiviti Jungle Tracking yang mengakhiri program tersebut.

Program ini berjalan dengan baik. Secara peribadi saya berpuas hati dengan program ini. Meskipun banyak modul tetapi banyak input-input diberikan dalam memantapkan lagi pemahaman tentang gerak kerja berjemaah. Semoga program ini akan diadakan lagi dan penyertaan dari Bayan Baru akan lebih baik pada program yang akan datang dalam mencari redha Allah disamping menguatkan lagi fahaman tentang bergerak kerja dalam jemaah.

Laporan disediakan oleh,
S/U DPPK Bayan Baru


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: